Artikel

Bukalapak Kini Miliki Pegangan Majoriti Dalam iPrice 

Setelah 8 tahun membangunkan platform perbandingan pasaran bersama penyelidikan – pegangan majoriti iPrice kini diraih oleh Bukalapak iaitu syarikat e-dagang yang berpangkalan di Indonesia.

Kesepakatan pelaburan strategik ini sekaligus akan meluaskan jejak iPrice pada pasaran serantau di samping ini memberi kelebihan kepada Bukalapak untuk memacu arena e-dagangnya dan membuka peluang kepada mereka untuk meneroka arena ekonomi digital yang lain bersama lebih 1,000 rakan kongsi jenama bersama iPrice.

Meskipun perolehan tersebut telah dicapai, namun kedua pihak tidak memberi sebarang angka akan peratusan peralihan kepentingan operasi.

Untuk makluman iPrice berpangkalan di Malaysia telah menampilkan pelbagai perbandingan data berdasarkan kategori pasaran ekonomi. Ini meliputi data dari Malaysia, Indonesia, Vietnam, Singapura, Hong Kong, Filipina dan Thailand. Bagi tahun 2022 sahaja, iPrice berjaya memberi manfaat kepada lebih 100 juta pengguna di 7 buah negara Asia Tenggara ini untuk berbelanja secara bijak menerusi pendedahan data, tinjauan dan carta senarai bersama pengguna.