Bank Negara Malaysia (BNM) bersama bank pusat Monetary Authority of Singapore (MAS) secara rasminya melancarkan rangkaina pembayaran Kod QR Rentas Sempadan antara Malaysia dan Singapura. Ini bermakna kedua pengguna negara dapat kemudahan pembayaran melalui sokongan imbasan kod QR di bawah DuitNow (Malaysia) dan NETS (Singapura).
Melalui sokongan kaedah pembayaran ini, ia secara langsung mengukuhkan hala tuju kedua negara dalam arena ekonomi digital. Di mana berdasarkan purata trafik tahunan sebelum pandemik COVID-19 didapati sekitar 12 juta pelawat antara kedua negara berpotensi memanfaatkan kemudahan ini dengan meningkatkan aliran pembayaran nirtunai bersama peniaga.
Usaha ini sejajar dengan matlamat Malaysia-Singapura untuk menurunkan kos serta meningkatkan kelajuan, akses dan ketelusan pembayaran rentas sempadan, senada dengan visi ASEAN Payment Connectivity Initiative dan G20 Roadmap for Enhancing Cross-border Payments.
Tidak terhenti disitu, BNM dan MAS dalam fasa seterusnya turut merancang mengembangkan jalinan pembayaran ini dengan membolehkan pemindahan dana dan kiriman wang dari akaun ke akaun secara rentas sempadan. Hal ini akan membolehkan pengguna membuat pemindahan dana dalam masa nyata antara Malaysia dengan Singapura hanya menerusi nombor telefon mudah alih penerima melalui DuitNow dan PayNow.
Perkhidmatan itu dijangka tersedia mulai akhir tahun 2023.