Artikel

Pengguna AirAsia Kini Boleh Jejak Tuntutan Bayaran Balik – Melalui AirAsia Super App, Laman Web

Sejajar dengan matlamat mengutamakan kebajikan pengguna, AirAsia kini melancarkan ciri Penjejakan Tuntutan Bayaran Balik pada aplikasi AirAsia Super App buat kemudahan para pengguna yang terkesan. 

Melalui ciri ini, para penumpang pada AirAsia Super app perlu menekan butang ‘My Cases’ dan memasukkan nombor kes mereka bagi mendapatkan status terkini permintaan pemulangan balik mereka dengan lebih terperinci. 

Adanya kemudahan yang lebih telus ini, AirAsia bersedia memaparkan proses bayaran balik kepada penumpang dengan lebih terbuka. Melalui akses ini, ia secara langsung akan membantu para penumpang lebih memahami dan kembali yakin pada perkhidmatan AirAsia. 

Buat pengetahuan umum, sehingga Februari 2023, AirAsia telah melunaskan 98.4% daripada tuntutan bayaran balik yang diterimanya sejak permulaan pandemik COVID-19 pada Mac 2020.

Kaedah pembayaran telah dilaksana dalam pelbagai bentuk dengan nilai jumlah sehingga $2.1 bilion. Sementara baki selebihnya kini sedang dalam proses penyelesaian tatkala kumpulan sedang membina semula pemulihan operasi mereka di tahap kapasiti normal. 

Selain ciri menjejak tuntutan bayaran balik ini, AirAsia turut menampilkan khidmat panggilan bagi memudahkan pengguna berinteraksi bersama Ask Bo di AirAsia Super App – untuk sebarang situasi mendesak yang berlaku ke atas para pengguna. 

Maka untuk nikmati kemudahan sedemikian, para pengguna boleh memuat turun AirAsia Super App pada ruangan Google Play dan iOS dalam peranti telefon pintar anda atau layari laman rasmi AirAsia.