Sekiranya wang kertas dilihat sepintas lalu, sudah pasti tiada perbezaan dapat diperlihat pada ketulenannya – namun bagi jenayah pemalsuan wang kertas di Malaysia, tahukah anda untuk tahun 2022 didapati 98% wang kertas palsu dalam negara adalah berkualiti rendah, hanya 2% kes sahaja diklasifikasikan berkualiti tinggi.
Fakta itu secara langsung mencerminkan ciri keselamatan yang terdapat pada wang kertas Ringgit Malaysia (RM) adalah di tahap tertinggi. Menurut Bank Negara Malaysia, selaku pengeluar tunggal mata wang negara pada Laporan Pengeluaran Mata Wang – terdapat 5 ciri keselamatan yang diterapkan pada wang kertas negara.
- Cetakan timbul pada permukaan potret Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong
- Imej tanda bayang, tingkap pandang telus, tanda pandang telus pada wang kertas
- Benang keselamatan yang memiliki dwi warna, terdapat petak kilat pada wang kertas
- Motif Bunga Raya (pada RM100) kelihatan bergerak jika disendengkan
- Terdapat elemen pendarfluor, tulisan mikro dan permukaan wang kertas licin
Mengukuhkan lagi kekuatan wang kertas negara, dalam tempoh 10 tahun didapati Indeks Pemalsuan Wang Kertas Malaysia telah menurun secara stabil daripada tahap paling tinggi iaitu 1.6 ppm (2016) kepada 0.3 ppm (2022). Jumlah ini bersamaan 3 keping wang kertas palsu bagi setiap 10 juta keping wang kertas dalam edaran.
Meskipun indeks pemalsuan wang kertas negara rendah, namun bagi kes yang wujud didapati wang kertas berdenominasi tinggi seperti RM100 dan RM50 dilihat lebeh cenderung menjadi sasaran pemalsuan, susulan nilainya lebih tinggi. Mengikut data BNM bagi 12 bulan 2022, pemalsuan wang kertas libatkan RM10 adalah 1%, RM20 (4%), RM50 (8%) dan RM100 (87%).
Sementara kes pemalsuan mengikut negeri pula menunjukkan kawasan Wilayah Tengah mencatatkan insiden pemasuan mata wang yang lebih tinggi sekitar 69.3% iaitu negeri Selangor dan Negeri Sembilan.
Berbalik pada kualiti rendah yang berlaku ke atas pemalsuan wang kertas di Malaysia, BNM menjelaskan kebanyakan wang kertas palsu yang dilaporkan kepada Bank adalah hasil tiruan yang mudah, dicetak menggunakan pencetak warna pada kertas biasa dan tidak mempunyai sebarang ciri keselamatan. Dengan permukaan yang licin dan tiada rasa kasar, kebanyakan wang kertas palsu berkualiti rendah, menjadikannya mudah dibezakan daripada wang kertas tulen.
Secara menyeluruhnya, insiden pemalsuan di Malaysia kebanyakannya berskala kecil dan biasanya dilakukan oleh penjenayah kecil yang bekerja sendiri menggunakan peranti komersial seperti mesin pendua, pengimbas dan pencetak laser.