Kepesatan ekonomi semasa, bersama peningkatan kos serta perubahan inflasi secara langsung telah meningkatkan komitmen rakyat negara, apabila 86.6% daripadanya kini mengakui sedang berdepan tekanan kewangan.
Dapatan di bawah penyelidikan UCSI pada awal bulan ini bersama 1,315 responden telah memperincikan 36% daripada jumlah itu kini memiliki tanggapan membimbangkan berhubung masa hadapan kewangan mereka, diikuti 37.7% pula merasakan wang adalah beban, susulan mereka tidak dapat menjalani kehidupan yang diinginkan kesan tekanan tersebut.
Namun tidak sekadar kalangan pekerja, rakyat negara yang berstatus suri rumah dan mereka yang berusia 41-50 tahun juga didapati lebih terdedah akan tekanan kewangan ini. Malah pada tinjaun juga sekitar satu pertiga daripadanya adalah kumpulan berpendapatan tinggi.
Berdasarkan tinjauan, ekoran komitmen yang lebih tinggi ini secara langsung telah menjejaskan banyak aspek dalam kehidupan mereka merangkumi, hubungan kekeluargaan semakin merudum, tidak banyak waktu rehat, kesihatan terjejas dan meningkatkan tanggapan negatif pada perancangan masa hadapan.
Secara menyeluruh didapati 28% responden mengakui tekanan kewangan adalah faktor utama menjejaskan kesejahteraan mereka sementara 8% pula di ambang krisis tunai.
Buat pengetahuan umum, tinjauan ini meliputi 62% orang dewasa bekerja dengan 6% berpendapatan melebihi RM10,959 sebulan, 36% pula berpendapatan antara RM4,850 hingga RM10,959 dan 58% pula berpendapatan bawah RM4,849. Selain pekerja, didapati 17% adalah penganggur, 12% suri rumah, 9% pesara.