Artikel

myIOU Dalam Proses Menstruktur Kembali Syarikat – Gantung Pendaftaran Pengguna Baharu

myIOU, penyedia Bayar Nanti Pakai Lekas (BNPL) kini memaklumkan pihaknya menangguhkan seketika pendaftaran baharu bersama pengguna, susulan operasi perkhidmatan sedang alami penstrukturan semula. 

Notis ini dimaklumkan melalui maklum-balas myIOU Malaysia pada platform media sosialnya. Didapati sebilangan pengguna telah berdepan permasalahan ini. Namun berdasarkan tinjauan Rnggt, sejak 16 Mac lalu IOUpay telah bertindak meminta penggantungan dagangan dari Bursa Sekuriti Australia (ASX) susulan terdapat isu penyelewangan kewangan syarikat bernilai $7 juta berlaku melibatkan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Kenneth Kuan Choon Hsuing.

Buat masa ini, mantan CFO tersebut telah dipecat dan isu tersebut telah dilaporkan, kini sedang disiasat oleh penguatkuasa negara Polis Diraja Malaysia (PDRM). 

Maka untuk memulihkan kembali kecekapan operasi, myIOU menjangkakan proses perkhidmatan BNPL akan kembali beroperasi semula pada akhir Mac ini dengan jaminan pemulangan semula wang tunai kepada perniagaan terlibat setelah portfolio BNPL dikecilkan. 

Tidak hanya penangguhan pendaftaran pengguna baharu, turut didapati sejumlah pekerja operasi telah diberhentikan dan diberi penawaran peletakan jawatan secara sukarela dan dijangka terdapat pengurangan pekerja selanjutnya dilaksanakan dalam beberapa tempoh mendatang. 

Berbalik kepada penggantungan saham di ASX, peletakan semula IOUpay pada papan bursa tersebut hanya dapat dilakukan setelah prestasi kewangan kumpulan ini kembali stabil dan mencukupi untuk menjamin tindakan sebut harga pada dagangan.