Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini memaparkan Indeks Harga Pengguna (IHP) kekal di paras 3.7% bagi tinjauan Februari 2023. Buat pengetahuan umum IHP bertindak menjadi pengukur kepada paras inflasi utama Malaysia.
Kadar ini bagaimanapun kekal memperlihatkan kenaikan secara perlahan sekitar 0.2% dan ia didorong oleh paras inflasi kumpulan seperti Restoran dan Hotel (7.4%), Makanan dan Minuman Bukan Alkohol (7.0%) dan Pengangkutan (3.7%).
Paras tersebut juga turut dicetuskan oleh kumpulan Hiasan, Perkakasan dan Penyelenggaraan Isi Rumah (3.4%), Pelbagai Barang dan Perkhidmat (2.5%) dan Kesihatan (1.8%).
Sementara itu, paras inflasi melibatkan subkumpulan Makanan dan Minuman Bukan Alkohol telah naik antara 0.6% hingga 9.0%. Ini merangkumi inflasi Makanan di Rumah (5.8%), Daging (9.0%), Beras, Roti dan Bijirin (6.7%), Ikan dan Makanan Laut (3.2%), Susu, Keju dan Telur (6.6%), Buah-Buahan (4.7%), Satur-Sayuran (5.8%), Gula, Jem, Madu, Coklat dan Manisan (3.6%) serta Makanan di Luar Rumah (8.9%).
Berdasarkan paras inflasi mengikut negeri pula, didapati 6 negeri telah mencatatkan kadar inflasi lebihi paras nasional 3.7%, di mana;
- Wilayah Persekutuan Putrajaya (4.7%)
- Selangor (4.3%)
- Johor (4.1%)
- Sarawak (4.0%)
- Pahang (4.0%)
- Perak (3.8%)
Manakala Kedah dan Wilayah Persekutuan Labuan pula kekal mencatatkan paras inflasi serendah 2.3%.
Secara menyeluruh, mengikut data Asia – Malaysia masih memiliki paras inflasi yang lebih rendah berbanding Indonesia (5.5%), Vietnam (4.3%), Thailand (3.8%). Namun kenaikan inflasi Malaysia secara perlahan ini wajar diberi perhatian semua pihak untuk memastikan aliran tunai rakyat Malaysia terus terpelihara dan berwaspada akan sebarang kemungkinan risiko ekonomi masa hadapan.