Walaupun angka kes COVID-19 di negara semakin melandai, sektor kesihatan kekal meneruskan pemantauan dan mengalakkan orang awam untuk mendapatkan vaksin dos penggalak. Setakat 1 Februari ini menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terdapat 8,633,249 dos, stok vaksin COVID-19 masih tersedia di negara.
Namun dos vaksin yang terdiri daripada pelbagai jenama ini dijangka luput antara Februari sehingga September 2023.
Ketika ini terdapat 5 jenis vaksin yang berbaki pada senarai stok vaksin di Malaysia iaitu Sinopharm (Covilo), Can Sino (Convidencia), Sinovac (Coronavac), Pfizer (Corminaty),Pfizer Paeds (Corminaty Paeds).
Menurut KKM pada sidang Parlimen secara lisan, bekalan vaksin sedia ada ini akan terus digunakan pada Program Imunisasi COVID-19 terutamanya pada inisiatif dos penggalak untuk terus mengekang sebarang penularan. Buat pengetahuan umum ini perincian vaksin mengikut tarikh luput yang dikongsikan KKM pada minggu ini;

Sementara itu, sehingga 22 Mac ini KKM memaklumkan seramai 27,544,284 (84%) penduduk negara telah menerima dos primer lengkap, manakala 16,329,153 (50%) penduduk pula telah menerima dos penggalak pertama, diikuti 815,671 (2.5%) populasi pula telah menerima dos penggalak kedua.
Berdasarkan jumlah ini seramai 23,140,956 (98.4%) penduduk dewasa berusia 18 tahun dan ke atas telah menerima dos primer lengkap, dan 16,253,760 (69.1%) pula telah menerima dos pertama, diikuti 815,191 (3.5%) telah menerima dos penggalak kedua. Dalam kalangan remaja berusia 12 hingga 18 tahun pula seramai 2,858,623 (91.9%) telah menerima dos primer lengkap, manakala 60,436 (1.9%) pula telah menerima dos penggalak pertama.
Seterusnya kalangan kanak-kanak berusia 5 hingga 12 tahun pula, seramai 1,545,205 (43.5%) telah menerima dos primer lengkap.