Artikel

Arab Saudi Dilaporkan Ingin Melabur Pada SpaceX Milik Elon Musk

Dengan perlumbaan mengeksplorasi angkasa yang semakin hangat dalam kalangan pelbagai pihak, kini pihak Arab Saudi turut dilihat tidak ingin ketinggalan.

Melalui laporan TheInformation yang terkini, ia dikatakan unit pelaburan Arab Saudi dan juga sebuah syarikat berpusat di Abu Dhabi ingin melakukan pelaburan pada SpaceX.

SpaceX merupakan syarikat memfokuskan kepada teknologi angkasa yang diterajui oleh Elon Musk. Sebelum ini, beberapa perancangan sedia dinyatakan, termasuk membawa manusia ke planet Marikh melalui roket yang dibangunkan SpaceX, disamping membina penempatan di sana.

SpaceX dijangka akan dinilaikan sekitar $140 bilion melalui dana pelaburan baharu ini kelak. Buat masa ini, tiada sebarang komen dikeluarkan pihak Arab Saudi dan juga SpaceX mengenai suntikan dana pelaburan baharu ini.