Artikel

Industri Halal Malaysia Berpotensi Jana RM56 Bilion Hasil Eksport – Menjelang 2025

Berbekalkan permintaan produk halal yang semakin melonjak di pasaran antarabangsa dengan sokongan 1.9 bilion populasi beragama Islam, ia secara langsung memberi impak yang positif kepada industri halal Malaysia – yang dijangka berpotensi berkembang kepada $113.2 bilion menjelang 2030 kelak.

Peningkatan industri tempatan ini terus didorong melibatkan pemacuan pada sektor makanan dan minuman, farmaseutikal, produk kecantikan, penjagaan diri dan kesihatan negara. Tambahan pembangunan Taman Perindustrian Halal Malaysia yang berjaya menarik nilai pelaburan RM16 bilion itu turut meningkatkan lagi potensi industri halal tempatan. Daripada nilai itu, sekitar RM9.5 bilion (59%) adalah kemasukan pelaburan langsung asing (FDI).

Adanya pemacuan ekonomi ini menurut MITI, ia akan meningkatkan lagi sasaran negara mencapai 8.1% sumbangan industri halal pada KDNK negara menjelang 2025 kelak. Lebih menarik agenda itu berupaya membantu Malaysia menjana RM56 bilion pada hasil eksport bagi tempoh yang sama. Angka ini lebih tinggi berbanding perolehan hasil pada 2020, sekitar RM31 bilion.

Antara negara yang terus memaparkan sokongan pada industri halal Malaysia adalah seperti China, Singapura, AS, Jepun, Indonesia, Korea dan Vietnam. Melalui perkembangan ini secara langsung ia akan membuka lebih banyak peluang industri halal Malaysia untuk meneroka pasaran baharu di peringkat antarabangsa.