Artikel

Bank Dunia : Lebih 2.3 Bilion Penduduk Berdepan Kekurangan Air Minuman Yang Selamat

Untuk memperkasakan ekonomi, keperluan asas dilihat menjadi tunjang utama kepada kemajuan sesebuah negara – ini termasuklah kepentingan akses air. Ia menjadi antara elemen nadi masyarakat negara, meliputi keperluan individu, pertanian, perniagaan dan industri ekonomi lain.

Namun berdasarkan tinjauan Bank Dunia bersempena Hari Air Sedunia, didapati lebih 2.3 bilion penduduk dunia berdepan kekurangan air minuman yang selamat. Ketirisan itu sekaligus membawa kepada kepincangan kos ekonomi bernilai hampir $500 bilion setahun.

Wujudnya isu kelemahan kualiti air ini, ia secara langsung membawa kesan kepada pengurangan pertumbuhan ekonomi negara sebanyak satu pertiga. Tambahan perubahan iklim turut meningkatkan lagi risiko ketirisan kualiti air tersebut. Setakat 2022, Bank Dunia telah menyalurkan sejumlah $31.7 bilion untukk menangani cabaran perubahan iklim global dan sekitar $24 bilion diperuntukan untuk mendepani isu air di lebih 70 buah negara.

Maka untuk memastikan risiko isu ini dilandaikan, Bank Dunia menyeru penerapan 3 pendekatan pada krisis ini iaitu laksana pembaharuan dasar dalam penggunaan air, jalankan perkongsian bersama sektor swasta untuk tingkatkan kecekapan bekalan dan perkhidmatan serta akhir sekali menerapkan penggunaan teknologi baharu sebagai penyelesaian pintar untuk negara di masa hadapan.

Usaha sedemikian secara langsung akan mengurangkan kos rakyat untuk mendapatkan bekalan air, di samping melandaikan risiko dan membantu mengukuhkan asas ekonomi negara menjadi lebih mampan.