Bagi memudahkan perjalanan pengguna khidmat pengangkutan awam, Kementerian Pengangkutan (MOT) kini mengarahkan operator serta penyedia pengangkutan awam untuk sediakan sistem pembayaran terbuka – bermakna tidak hanya tertumpu pada Touch ‘n Go (TNG) sahaja.
Sekiranya diamati pada khidmat pengangkutan semasa, khidmat LRT sekadar menawarkan 3 pilihan sahaja iaitu token mesin layan diri, laluan kad TNG dan kad debit (cawangan terpilih sahaja). Penawaran itu dilihat tidak fleksibel dan secara langsung tidak memberi pilihan yang terbuka kepada pengguna.
Malaysia seharusnya meluaskan sistem pembayaran ini, sepertimana yang dilaksanakan pada kawasan tempat letak kenderaan – iaitu tidak hanya berpaksikan kepada TNG sahaja.
Maka MOT melihat penyediaan sistem pembayaran terbuka, yang membolehkan pelbagai jenis kad dapat digunakan seperti kad debit dan kad kredit harus diperluaskan untuk kemudahan awam. Perluasan ini turut meliputi perluasan pembayaran kad boleh-sentuh untuk kemasukan khidmat pengangkutan.
Setakat ini dilaporkan BH, MOT akan mulakan sistem tersebut dalam masa terdekat. Khususnya melibatkan pengangkutan awam di bawah Prasarana seperti bas, LRT, MRT dan KTMB. Namun buat masa ini perincian tersebut sedang diusahakan dan memerlukan tempoh beberapa bulan sebelum mencapai penyelesaian kepada pengguna.