ShopeePay, dompet digital di bawah e-dagang Shopee kini menampilkan polisi baharu pada penggunaan medium mereka iaitu baki yang boleh dipindah-milik dan baki yang tidak boleh dipindah-milik.
Di mana mengikut perincian laman rasmi Shopee, baki yang tidak boleh dipindah-milik ini akan melibatkan dana yang ditambah-nilai melalui kad kredit. Di mana baki tersebut tidak boleh dipindahkan ke akaun atau dihantar kepada mana-mana pihak ketiga termasuklah transaksi secara DuitNow. Ia hanya terpakai untuk pembayaran secara atas talian dan luar talian melalui ShopeePay sahaja.
Langkah ini secara langsung mengekang tindakan untuk pengguna memindahkan sebarang tambah-nilai yang dilakukan melalui kad kredit kepada bahagian baki yang boleh dipindah-milik. Selain itu, sebarang perolehan pulangan tunai juga tidak boleh dipindah keluar baki ke akaun bank pengguna, ia turut dikategori sebagai baki yang tidak boleh dipindah-milik.
Pada perubahan polisi itu juga, kelak pembayaran pada platform akan mengutamakan baki yang tidak boleh dipindah-milik, dan sekiranya baki tersebut telah digunakan secara menyeluruh maka baki yang boleh dipindah pula dapat digunakan untuk tindakan pembayaran.
Setakat ini difahamkan ciri tersebut sedang dilaksanakan secara berperingkat, susulan masih terdapat pihak yang tidak memiliki sekatan berhubung peralihan baki mereka pada tambah-nilai bersama kad kredit.