Artikel

LHDN Saran TikTokers, Pempengaruh Sertai Pengakuan Sukarela Cukai – Mulai 1 Jun Ini

Seraya dengan usaha pentadbiran untuk meningkatkan hasil negara, kini dijangka seramai 50,000 pembayar cukai akan sertai Program Pengakuan Sukarela bersama sokongan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia mulai 1 Jun 2023 sehingga 31 Mei 2024 ini.

Agenda itu menurut LHDN sekaligus dapat membuka ruang kepada kumpulan pembayar cukai berkaitan untuk meraih pengampunan penalti 100%, ini termasuklah kepada kumpulan TikTokers dan pempengaruh.

Dimaklumkan kumpulan ini memiliki kategori tersendiri dalam program pengakuan sukarela tersebut. Ia bermakna, proses percukaian dan pelaporan pendapatan mereka akan menjadi lebih mudah kerana kategori tersebut akan membantu kumpulan pempengaruh untuk memahami bentuk pendapatan yang diterima mereka.

Malah LHDN mengakui pihaknya turut akan laksana perbandingan data melalui TIN – Tax Indentification Number iaitu pemberian nombor TIN kepada rakyat Malaysia dan pemaustatin bermula usia 18 tahun dan ke atas, yang telah dijalankan pada tahun lalu.

Menerusi data ini, LHDN akan membanding kumpulan pembayar cukai mengikut kelas pendapatan serta kategori segmen pekerjaan sektor. Secara langsung ia akan memberi data padanan yang mutlak untuk pihak LHDN memperincikan data pembayar cukai.

Adanya usaha sedemikian, ia akan membantu LHDN mengenalpasti dan menggalakkan penyertaan individu yang masih belum berdaftar selaku pembayar cukai. Turut difahamkan melalui program ini dijangka sekitar RM1 bilion kutipan cukai dapat diraih oleh penguatkuasa bersama penawaran pengampunan penalti 100% untuk pembayar cukai terlibat.

Oleh itu, untuk pihak berkaitan dinasihati memanfaatkan peluang ini dan tampil melunaskan tanggungjawab anda kepada negara. Sebarang makluman lanjut boleh merujuk pada laman rasmi LHDN.