Artikel

Fasiliti Pengeluaran Daging Kultur Bernilai RM20 Juta, Bakal Dibina Di Pulau Pinang

Pasaran pengeluaran produk makanan negara tidak lama lagi, bakal menyaksikan saingan melalui pembangunan kilang tempatan yang fokus kepada penghasilan daging kultur di Batu Kawan, Pulau Pinang.

Daging Kultur, untuk makluman adalah penghasilan daging yang dilakukan di dalam makmal atau bioreaktor dengan kaedah membiakkan sel tunjang di dalam medium kultur. Secara mudah penghasilan daging ini tidak melibatkan sebarang pembiakan atau penternakan haiwan.

Pembangunan kilang bernilai RM20 juta di bawah rancangan firma Cell AgriTech bersama sokongan Bioeconomy Corporation (dimiliki MOF Diperbadankan) dan MOSTI ini meletakkan sasaran untuk memasuki pasaran daging negara menjelang 2025 – setelah kemudahan pengeluaran daging tersebut berjaya dicapai. Dijangkakan pembinaan kilang ini akan dimulakan pada Mei 2023 dan disasar selesai pada akhir 2024.

Melalui usaha ini, ia secara langsung memperkasakan agenda sekuriti makanan negara, di samping meningkatkan pengeluaran daging di Malaysia, tanpa perlu bergantung secara berperingkat pada stok luar negara. Berhubung status halal pula, firma memaklumkan pihaknya kini dalam usaha mempercepatkan perolehan pensijilan tersebut bersama pihak berkuasa sebelum operasi dimulakan.

Namun diakui pembangunan ekosistem daging kultur di Malaysia ini masih memiliki cabaran tersendiri, antaranya tekanan kos pengeluaran yang tinggi, di samping kekurangan rangka pengawalseliaan pada aspek keselamatan klinikal dan tahap kecekapan proses pengeluaran masih diteliti. 

Susulan itu, pemerkasaan infrasturktur ini akan terus disemak dari semasa ke semasa melibatkan usahasama  MOSTI dan Bioeconomy.

Secara menyeluruh arena ini memiliki potensi yang membrangsangkan pada struktur ekonomi global – apabila dijangka berupaya berkembang $176.48 juta (2022) kepada $321.71 juta menjelang 2027 kelak. Ini peluang yang baik buat pasaran Malaysia untuk meluaskan pasaran tersebut.