Artikel

Kedai Gunting Rambut, Tekstil, Emas – Tidak Lagi Boleh Menggaji Pekerja Asing

Walaupun Malaysia membenarkan kemasukan pekerja asing pada segmen ekonomi negara – tindakan itu bagaimanapun tidak terpakai untuk beberapa segmen ekonomi tempatan. Ini merangkumi industri tekstil, emas dan kedai gunting rambut. 

Ketiga subsektor tersebut untuk makluman sememangnya tidak dibenarkan menggaji pekerja asing pada operasi mereka sejak 2009. Namun kelonggaran diberi kepada pekerja asing yang telah sedia ada selepas penguatkuasaan itu dilaksanakan.

Bagaimanapun mengikut laporan terdapat makluman baharu melalui pekeliling Jabatan Imigresen menjelaskan, mana-mana pekerja asing yang telah bekerja sebelum 2009 – dikehendaki untuk melanjutkan pas kerja sementara pekerja mereka pada 15 Mac lalu dan permit itu boleh diperbaharui selama 1 tahun. Namun setelah tempoh tersebut, pekerja asing tidak lagi boleh bekerja pada premis berkenaan. 

Aturan ini secara langsung mengakibatkan berlakunya peningkatan isu kekurangan pekerja dan ada diantara premis sektor ini terpaksa ditutup ekoran produktiviti semakin menurun dan kelak tidak dapat memperbaharui permit pekerja asing mereka yang sedia ada.