Artikel

Sesi Sekolah Bermula Januari Akan Dikembalikan Dalam Beberapa Tahun Lagi

Untuk kembali ke pembukaan sesi persekolahan di bulan Januari sebagaimana yang diamalkan sektor pendidikan negara sebelum ini – langkah dilihat hanya dapat dilaksana setelah beberapa tahun kemudian.

Proses pelarasan sesi persekolahan ini memerlukan usaha yang terperinci – merangkumi pelarasan sesi pembelajaran dan cuti persekolahan. Malah penetapan jumlah hari bersekolah juga tidak boleh kurang daripada 190 hari seperti apa yang tertakluk dalam Akta Pendidikan 1996 negara.

Maka untuk kembali kepada sesi pembukaan asal memerlukan sedikit masa dari sektor pendidikan Malaysia. Tidak hanya masa murid, namun masa guru juga turut akan terkesan. Malah sekiranya dilihat secara menyeluruh – ekonomi berkaitan persekolahan juga perlu diberi masa untuk bersedia memastikan perniagaan mereka tidak terkesan dari aspek pengeluaran dan jualan produk bagi memenuhi perubahan jadual sesi ini.

Susulan itu Kementerian Pendidikan akan terus meneliti segala pertimbangan ini sebelum laksana sebarang perubahan pada takwim tahunan dari semasa ke semasa.