Artikel

Banci Ekonomi 2023 Turut Tertumpu Pada Kemajuan EV, Dron Di Malaysia

Banci Ekonomi 2023 hari ini secara rasminya dilancarkan bagi tindakan penyediaan data ekonomi Malaysia secara menyeluruh bermula April 2023 sehingga September 2023 kelak.

Berdasarkan pelancaran itu, difahamkan sejumlah 1.2 juta pertubuhan perniagaan akan terlibat pada tinjauan bancian ini. Langkah tinjauan ini adalah usaha lanjutan kepada pembancian data negara untuk setiap 5 tahun. Kali terakhir ia dilaksanakan pada 2016 – dan selanjutnya tahun 2021, usaha tersebut telah alami penangguhan rentetan kemelut COVID-19 melanda ekonomi negara.

Apa yang menarik pada tinjauan kali ini, DOSM memaklumkan akan menampilkan statistik baharu melibatkan kenderaan elektrik (EV), arena e-sukan, industri dron dan milikan belia.

Penambahan statistik ini, secara langsung akan membantu negara memahami permintaan pasaran semasa, di samping turut dapat mengukur kaedah terbaik untuk Malaysia memajukan ekonomi digital dan menjadikan data ini sebagai langkah asas bagi pembentukan dasar negara di masa hadapan.

Secara menyeluruh penerbitan data bancian ini akan dilaksanakan secara berperingkat dan akan mula dipaparkan pada Mac 2024 kelak, selain itu DOSM bersama Kementerian Ekonomi turut memaklumkan mulai tahun 2024 – bancian pertanian akan dilaksanakan.