Selaras dengan usaha operasi kumpulan untuk perkukuhkan agenda lestari, Pos Malaysia meletakkan sasaran – pihaknya akan beralih menggunakan kenderaan penghantaran elektrik sepenuhya pada perkhidmatan menjelang tahun 2030.
Untuk tahun ini, pihaknya menjangkakan akan menggunakan sejumlah 200 motosikal elektrik pada operasi mulai suku ketiga 2023. Selanjutnya menyasarkan kenderaan penghantaran elektrik akan mencapai 28% menjelang tahun 2025.
Peralihan penggunaan ini dimaklumkan akan dilaksana secara berperingkat bersama garis panduan keselamatan untuk rakan penghantar dan pemandu.
Manakala berhubung prestasi kumpulan pula, Pos Malaysia kekal optimis akan perolehan mereka pada tahun ini. Sebagai perbandingan setakat akhir 2022, Pos Malaysia berjaya mengurangkan nilai kerugian bersih sebanyak 50% kepada RM167.7 juta, sementara pendapatan pula berjaya meraih sekitar RM1.96 bilion – lebih rendah berbanding data kewangan sebelumnya iaitu RM2.19 bilion.
Melalui pemerkasaan kelestarian ini, secara langsung akan membantu Pos Malaysia meningkatkan lagi kecekapan sistem penghantaran di samping membantu arena automotif negara meningkatkan kualiti infrastruktur EV secara berperingkat.