Artikel

Jumlah Penganggur Di Malaysia Semakin Menurun – Kini Seramai 596,100 Individu

Memasuki tahun 2023 ini, pasaran tenaga kerja Malaysia kini perlihatkan prestasi yang mengukuh apabila bilangan penduduk bekerja telah meningkat kepada 16.16 juta individu –  di samping kadar pengangguran pada Januari pula menurun pada paras 3.6% kepada 596,100 penganggur.

Jumlah ini sekaligus memperlihatkan seramai 3,500 individu pada tinjauan tenaga kerja Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berjaya meraih peluang dalam pasaran pekerjaan negara untuk tempoh tersebut.

Berdasarkan pecahan menganggur, didapati 80.8% adalah penganggur aktif iaitu kumpulan individu yang giat mencari peluang pekerjaan, sementara 19.2% pula penganggur pasif. Manakala berlandaskan kategori usia pula didapati belia berumur 15-24 tahun telah alami penurunan jumlah penganggur kepada 328,800 individu, diikuti untuk belia sehingga 30 tahun pula meningkat dengan seramai 449,700 penganggur.

Selanjutnya berhubung kategori pekerjaan pula, seramai 12.2 juta individu berstatus pekerja di Malaysia, Majikan pula seramai 558,100 individu, Bekerja Sendiri pula seramai 2.87 juta dan Pekerja keluarga tanpa gaji pula seramai 486,100 individu.