Kementerian Pengangkutan (MOT) kini memaklumkan terdapat usaha untuk meneliti penawaran harga tiket penerbangan lebih rendah buat kumpulan belia khususnya para pelajar bersama pemain industri kelak.
Usaha itu bertujuan untuk melandaikan tekanan kos di samping memberi penjimatan kepada kos perjalanan mereka, antara lain ketika musim perayaan. Bagaimanapun langkah semakan itu akan dibawa bersama pemain industri tidak lama lagi.
Makluman pada sidang Parlimen hari ini juga turut menyentuh isu ketidakpatuhan syarikat penerbangan pada Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC) 2016. Ternyata data sejak 2018 sehingga Januari 2023 ini – didapati sejumlah RM4.72 juta penalti telah dikenakan, melibatkan beberapa syarikat penerbangan negara.
Jumlah itu sekaligus mencerminkan masih terdapat kelompongan pada kemajuan sistem pengangkutan penerbangan untuk para pengguna.
Susulan itu Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) kekal menegaskan pada sidang Parlimen hari ini bahawa syarikat berkaitan perlu menawarkan pembayaran ganti dalam masa 30 hari kepada pengguna tertakluk di bawah MACPC.
Kegagalan mematuhi aturan itu berupaya membawa kepada pengenaan penalti tidak lebih RM200,000 untuk kesalahan pertama dan pengenaan denda 10 kali ganda bagi kesalahan seterusnya.
Tidak hanya itu MAVCOM turut memaklumkan akan pertimbang pengenaan denda ke atas syarikat yang laksana penjadualan semula penerbangan mereka, namun perincian ini masih diperingkat semakan dan akan dimaklumkan kelak.