Berkuat kuasa April ini, Naza Italia selaku wakil pengedar rasmi kereta Ferrari di Malaysia kini memaklumkan akan mengakhiri peranan tersebut dan meneroka peluang baharu bersama jenama lain di pasaran automotif.
Keputusan ini secara langsung membawa kepada penelitian semula perniagaan automotif Naza, mengikut kesesuaian permintaan semasa setelah bersama Ferrari sejak 2008.
Pelepasan hak mengedar ini bagaimanapun tidak akan menjejaskan aktiviti jualan jenama, sehingga tarikh penamatan hak mengimport dikuat kuasakan.
Berdasarkan makluman, tindakan penamatan ini akan berkuat kuasa mulai 8 April kelak dan didapati ketika ini proses pemilihan pengimport baru serta runcit sedang diteliti untuk mewakili Ferrari pada pasaran tempatan.