Artikel

Paras Inflasi Malaysia 2023 Berpotensi Serendah 2.8% 

Susulan terdapat jangkaan prospek ekonomi negara akan menjadi lebih perlahan, di tambah harga komoditi yang lebih stabil – pentadbiran negara menjangkakan kadar inflasi pada tahun ini adalah sekitar 2.8% hingga 3.8%.

Maka untuk memastikan paras sedemikian tidak mengalami kenaikan mendadak, beberapa usaha telah digariskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada rancangan tahun ini. Antaranya pengagihan bantuan tunai melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) pada awal Januari 2023.

Pada peringkat awal, sekitar RM772.4 juta telah diperuntukan bagi mengurangkan bebanan ibubapa, diikuti penawaran bantuan khas tunai buat penjawat awam pada Januari turut tersedia.

Selain usaha ini, terdapat juga tindakan negara mengekalkan tarif elektrik pada kadar semasa buat pengguna awam. Menerusi penerapan ini sekitar RM15 bilion dibelanjakan pada tahun ini. Malah usaha menyeragamkan harga 7 barang asas melibatkan beras putih, gula, minyak masak 1kg, tepung gandum serta had siling petrol turut dilaksanakan.

Dijangka kelak terdapat beberapa penawaran lain akan diperkenalkan, ini termasuklah pelaksanaan subsidi secara bersasar. Setakat ini, berlandaskan pembentangan Belanjawan 2023 yang dibentangkan akhir bulan lalu didapati sekitar RM64 bilion jumlah peruntukan melibatkan usaha negara untuk tangani tekanan kos sara hidup di Malaysia akan dilaksanakan pada tahun ini.