Artikel

47% Rakyat Malaysia Didapati Tidak Mampu Beli Rumah RM350,000 Dan Ke Atas

Persekitaran kos semasa ditambah peningkatan kos bahan binaan kini secara langsung telah mengekang keupayaan rakyat negara untuk memiliki rumah di paras RM350,000 dan ke atas.

Tinjauan di bawah Kajian Sentimen Pengguna H1 2023 PropertyGuru Malaysia ini memperincikan sekitar separuh pengguna negara tidak berupaya membeli kediaman tanpa insentif kerajaan. Didapati 3 daripada 4 responden ingin kerajaan menggandakan usaha insentif pada pemilikan rumah.

Selain usaha meningkat bantuan kewangan untuk rakyat negara, literasi kelayakan pemilikan rumah juga dilihat wajar diperkasa dalam kalangan pengguna. Ini kerana, masih terdapat kumpulan pengguna yang berdepan ketirisan wang susulan aliran perbelanjaan mereka terkesan disebabkan tekanan kos semasa dan bebanan pinjaman perumahan.

Berdasarkan tinjauan didapati 58% pengguna negara terdiri daripada kelas pendapatan pertengahan yang berusia kalangan 22 tahun sehingga 41 tahun – memiliki hasrat untuk membeli hartanah susulan telah mencapai paras simpanan mereka, diikuti 22% memiliki simpanan cukup untuk membeli rumah sekarang. Namun tekanan kos semasa telah mengekang tindakan sedemikian.

Ini sekaligus menjadikan keutamaan menyewa rumah lebih tinggi berbanding pembelian hartanah. Dijangka tingkahlaku ini akan berlarutan dalam tempoh beberapa tahun.

Selain tekanan kos, persekitaran kediaman khususnya melibatkan risiko iklim – secara langsung telah menjadi tumpuan 98% responden pada langkah pembelian kediaman, khususnya dalam kalangan mereka berusia 50 tahun dan ke atas. Berikutan situasi itu, 52% mula menyatakan ketersediaan mereka melanggan insurans premium untuk melindungi hartanah mereka.