Artikel

Vincent Tan Lepas Jawatan Pengerusi Berjaya Corp, Tampilkan Barisan Lembaga Pengarah Wanita

Vincent Tan, Pengasas di sebalik Berjaya Corporation (BCorp) kini mengambil langkah melepaskan peranannya selaku Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif Bcorp – berkuat kuasa pada 1 Mac (semalam).

Meskipun telah membuat keputusan pengunduran, Vincent Tan akan kekal berperanan selaku Penasihat kumpulan dalam memantau aliran pertumbuhan Bcorp bersama kumpulan Lembaga Pengarah.

Peranan Pengerusi tersebut dimaklumkan akan digalas oleh lantikan baharu iaitu Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim Ismail sebagai Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif. Lebih menarik, selain pengumuman pelepasan jawatan ini, BCorp kini menampilkan barisan ahli lembaga pengarah keseluruhannya kalangan wanita.

Aturan BCorp ini secara langsung mengetengahkan usaha Malaysia dalam memperkasakan penyertaan wanita pada pengurusan tertinggi syarikat negara.

Antara penampilan ahli baharu yang diumumkan, berkuat kuasa 1 Mac lalu ialah Vivienne Cheng Chi Fan dan Nerine Tan Sheik Ping sebagai Ketua Pegawai Eksekutif/Pengarah Eksekutif Bersama, diikuti Norlela Baharudin sebagai Pengarah Eksekutif, Chryseis Tan Sheik Ling selaku Pengarah Eksekutif, sementara Dr. Jayanti Naidu G. Danasamy, Penelope Gan Paik Ling dan Datuk Leong Kwei Chun pula sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif.