Artikel

Sekitar 400,000 Pengguna Malaysia Kini Miliki Skor Kredit Rendah, Lemah – CTOS

CTOS, agensi yang bertindak mengukur tahap kesejahteraan kredit kewangan pengguna di Malaysia kini dapati secara purata pengguna negara dikategorikan berada pada paras “Sederhana” sahaja iaitu skor 678. Walaupun di bawah kategori “Baik” namun skor kredit pengguna tempatan semakin meningkat dari tahun ke tahun.

Data yang didasari pada Laporan Kredit Pengguna CTOS 2022 bersama Monash University Malaysia ini telah mengambilkira sampel meliputi lebih 1.4 juta pengguna individu di negara. Berdasarkan perincian, pada tahap skor 678 ini – diakui pengguna negara layak mendapat tawaran produk-produk kewangan dari aspek pinjaman namun kategori “Sederhana” secara jelas akan menafikan hak pengguna untuk meraih tawaran produk kewangan yang lebih baik.

 

Skor Penilaian Skor Kredit Anda
  Cemerlang! Prestasi pengguna cemerlang dan akan diberi keutamaan
  Sangat Baik! Kumpulan pengguna turut diberi keutamaan
  Baik! Prestasi pengguna di paras sederhana tinggi, melayakkan perolehan kredit baru
  Sederhana. Pengguna kekal ditawar produk kewangan namun tidak diutamakan
  Rendah. Pengguna berpotensi alami masalah ketika memohon kredit
  Lemah. Permohohan pengguna berpotensi ditolak.
  Skor pengguna tidak dapat diukur susulan maklumat tidak mencukupi

 

Dapatan juga dapati, sekitar 28.3% pengguna pada data adalah tergolong di bawah kategori “Rendah” dan “Lemah” – ini sekaligus menunjukkan sekitar 400,000 pengguna Malaysia tidak beroleh manfaat kredit daripada institusi kewangan negara susulan aliran status tunai mereka yang rendah.

Bagaimanapun sekitar 70% pengguna negara kekal miliki prestasi skor kredit antara “Sederhana” sehingga “Cemerlang” dengan 5 buah negeri mencatatkan purata kredit skor pengguna yang positif. Antaranya Pulau Pinang (689), Selangor (682), Kuala Lumpur (681), Perak (680) dan Melaka (680).

Sementara mengikut kelas pendapatan pula, keseluruhan menunjukkan di kategori “Sederhana” namun terdapat perbezaan skor dicatatkan iaitu kelas pertengahan M40 dengan skor 682, diikuti kelas teratas T20 dengan skor 677 dan kelas rendah B40 pula dengan skor 675.

Seterusnya mengikut perincian generasi usia di Malaysia, secara menyeluruh golongan berusia antara 58 tahun hingga 76 tahun telah berjaya mencatatkan paras kredit skor “Baik” dengan 699 mata, manakala Gen Z, Gen Y dan Gen X (usia 10 tahun hingga 57 tahun) pula mendominasi kategori “Sederhana” sekitar 675-678 skor.