Artikel

Bermula 1 Mac, Individu Berstatus Muflis Lebih 5 Tahun Atau Berhutang Kurang RM50K – Dibebaskan Status

Seperti yang diumumkan pada Belanjawan 2023 tempoh hari, kerajaan kelak akan meminda Akta Insolvensi 1967 untuk membuka peluang kedua kepada rakyat negara yang telah diisytiharkan bankrap sebelum ini.

Melalui hasrat itu, sementara menanti pindaan ini direalisasikan – kerajaan akan bertindak laksana pelepasan bankrap untuk jumlah hutang skala kecil. Langkah ini akan dilaksanakan oleh Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) menerusi pengeluaran Sijil Pelepasan Ketua Pengarah Insolvensi di bawah seksyen 33A Akta 360. Antara pertimbangan yang dikongsikan Jabatan Perdana Menteri ini adalah;

  • Pengisytiharan muflis telah melepasi tempoh 5 tahun dari tarikh Perintah Penerimaan dan Perintah Penghukuman/Kebankrapan
  • Jumlah hutang atau baki yang berkaitan tidak lebihi RM50,000
  • Tiada perintah Mahkamah, prosiding atau prosiding penyiasatan dilaksanakan ke atas muflis di bawah Akta 360 – yang akan menghalang pelepasan diberi melalui Sijil Ketua Pengarah Insolvensi yang dimaklumkan

Kriteria sedemikian memerlukan kelompok berkaitan untuk tampil membuat permohonan pelepasan pada cawangan MdI yang menguruskan kes muflis individu berkaitan. Terdapat tiga kaedah disediakan antaranya hadir secara fizikal di cawangan, menghantar surat serta emel untuk semakan status muflis.

Mengikut pembentangan bajet PM Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan dianggarkan tahun ini, Malaysia akan memperlihatkan kebebasan status muflis ke sekumpulan individu. Dijangka jumlah tersebut sekitar 130,000 individu di negara. Melalui usaha ini secara langsung status tunai mereka tidak lagi disekat dan dinafikan oleh pihak tertentu.