Artikel

Setelah 24 Tahun, Dairy Farm Ambil Langkah Keluar Dari Sektor Runcit Malaysia

Tatkala persaingan pasaraya di negara semakin rancak, Dairy Farm International (DFI) iaitu pengendali rangkaian pasaraya pada jenama Giant – telah bertindak untuk keluar dari pasaran Malaysia setelah terlibat selama 24 tahun pada pasaran, sejak 1999.

Tindakan firma yang berpangkalan di Hong Kong ini, difahamkan untuk memberi tumpuan kepada segmen rangkaian Guardian Health and Beauty.

Langkah itu sekaligus membawa tindakan kepada penjualan kesemua rangkaian perniagaan makanannya di Malaysia, ini termasuklah Giant. Dilaporkan perjanjian peralihan tersebut membawa kepada nilai bilion ringgit Malaysia bersama sekumpulan usahawan yang diketuai Datuk Andrew Lim iaitu Pengerusi Eksekutif KL Sogo, juga merupakan ahli lembaga pengarah Gama Supermarket & Departmental Store.

Buat pengetahuan umum, Dairy Farm mengendalikan antaranya sejumlah 40 cawangan Giant, Mercatos (8), Cold Storage (2), TMC (1) dan Giant Mini (40). Pengendaliannya dijalankan melalui GCH Retail (Malaysia) yang memperlihatkan 70% dimiliki DFI, sementara baki 30% kepentingan pula milik Syarikat Pesaka Antah.

Menerusi perjanjian peralihan, dijangka kesepakatan tersebut dapat diselesai pada awal Mac ini.

Meskipun terdapat perubahan pada tampuk pimpinan pada sebilangan cawangan, langkah tersebut dimaklumkan tidak akan menjejaskan 2,500 kakitangan.