Artikel

Ninja Van Kini Telah Melengkapkan 15 Juta Penghantaran Kepada Penerima Di Malaysia – Sepanjang 2022

Bersempena ulang tahun ke-8 Ninja Van Malaysia pada tahun ini, beberapa pencapaian menarik telah berjaya diraih oleh operasi – antaranya berjaya melengkapkan hampir 15 juta penghantaran kepada penerima sepanjang tempoh 12 bulan lalu.

Lebih menarik, peneraju pembekal logistik negara turut memaparkan prestasi yang positif apabila menyediakan liputan perkhidmatan 100% di seluruh negara dengan penyediaan hampir 5,700 pusat pungutan untuk memudahkan lagi proses penghantaran bersama pengguna dilaksanakan.

Malah untuk menggandakan usaha yang telah dimulakan sejak 2015 ini, Ninja Van melalui pelancaran hab berkeluasan 260,000 kaki persegi di Shah Alam – telah menyasarkan proses penyusunan dan penjejakan bungkusan dapat dipertingkatkan hasilkan sekitar 35%. Pusat tersebut turut akan membantu jenama meningkatkan kecekapan operasi pada segmen imbasan bungkusan dengan sistem lebih baik. Setakat ini usaha itu berupaya mengimbas bungkusan sehingga 30,000 bungkusan sejam.

Tidak hanya usaha itu, Ninja Van kini turut menampilkan Logistics+, satu rangkaian penyelesaian pengurusan rantaian bekalan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Asia Tenggara.

Ia berperanan membantu PKS menavigasi rangkaian pembekal perkhidmatan dan penyedia perkhidmatan kewangan yang kompleks dan sentiasa berubah. Dijangka sekitar 30,000 PKS di Asia Tenggara berpotensi meraih manfaat daripada Logistics+ ini. 

Secara keseluruhan, Ninja Van Malaysia telah bertapak sejak 2015 dan kini memiliki hampir 9,500 petugas, diikuti lebih 5,800 kenderaan penghantaran dan 200 hab serta stesen di negara – selain pasaran tempatan, Ninja Van juga memperluas jejaknya pada rantau Asia Tenggara lain merangkumi pasaran Thailand, Vietnam, Singapura, Filipina dan Indonesia.