Artikel

Pelitup Muka Bukan Perubatan Kini Perlu Miliki Cop SIRIM – Bermula 1 Julai Ini

Untuk memastikan jualan bekalan pelitup bukan perubatan memenuhi keperluan pemakaian buat pengguna Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kini memaklumkan penguatkuasaan perakuan SIRIM pada pelitup muka tersebut akan dilakukan mulai 1 Julai 2023.

Makluman tarikh kuat kuasa baharu Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Pelitup Muka Bukan Perubatan 2022 ini adalah bertujuan menangani isu lambakan bekalan dan membuka ruang kepada lebih ramai pengeluar untuk dapatkan sijil perakuan SIRIM QAS International Sdn Bhd.

Langkah itu sekaligus turut akan membawa kepada larang import terhadap bekalan pelitup muka bukan perubatan yang tidak mengikut piawaian yang ditetapkan negara.

Berikutan itu, negara menyasarkan sehingga Jun 2023, Malaysia akan memiliki bekalan pelitup muka yang mencukupi dan mematuhi aturan yang ditetapkan negara bersama perakuan SIRIM. Seperti yang umum ketahui, sebelum ini usaha tersebut pernah dilaksanakan namun alami penangguhan.