Artikel

Paras Garis Kemiskinan Kini Disemak, Bakal Dipapar Pertengahan 2023 – Kementerian Ekonomi

Usaha negara untuk memastikan pengukuran kemiskinan setimpal dengan keadaan ekonomi semasa, dimaklumkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) kini sedang dikemas-kini negara melalui dapatan Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES & BA) 2022.

Perkongsian Kementerian Ekonomi pada sidang Parlimen itu, memperincikan semakan tersebut melibatkan seramai 92,000 isi rumah terpilih dan telah dimulakan pada Januari 2022 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). Menurut kementerian, hasil semakan itu dijangka akan dipaparkan pada pertengahan tahun 2023 ini.

Sementara sesi libat urus berkaitan PGK 2022 bersama pemegang taruh akan mula dilaksanakan pada awal April 2023 kelak.

Buat pengetahuan umum, melalui kemas-kini PGK negara ini – ia meneliti pelbagai faktor berkaitan antaranya situasi sosio-ekonomi semasa, pendapatan, perbelanjaan, pola permintaan, harga barangan dan perkhidmatan serta kesan kenaikan kos sara hidup semasa.

Pada masa yang sama, kementerian turut akan menambah baik kaedah pengukuran kemiskinan melalui Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (MPI) – yang menyentuh pelbagai aspek seperti akses kesihatan, pendidikan dan kemudahan asas. Melalui usaha ini, dijangka langkah membasmi tahap kemiskinan negara dapat direalisasikan seiring dengan agenda di bawah Rancangan Malaysia 12 bagi tempoh sehingga 2025 kelak.

Setakat ini kadar had kemiskinan negara masih menggunapakai paras purata RM2,208 untuk isi rumah, sementara RM1,169 untuk miskin tegar.