Susulan data pengangguran belia kini dilihat menunjukkan peningkatan, didapati sekitar 123,178 individu daripadanya adalah graduan pada tahun 2019, 2020 dan 2021.
Data di bawah Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) ini menurut Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menunjukkan jumlah graduan tidak bekerja selepas 6 bulan menamatkan pengajian mereka masih lagi tinggi.
Setakat 2019, seramai 41,161 individu (13.8%) daripada 298,551 graduan didapati masih menganggur, diikuti tahun 2020 dengan seramai 40,550 individu dan tahun 2021 pula seramai 41,467 graduan masih menganggur.
Aliran tersebut menurut KPT adalah kesan permintaan pekerjaan yang kecil pada tempoh pandemik, diikuti permintaan tenaga kerja semasa pula dilihat tidak menepati kemahiran yang tersedia di pasaran.
Selain itu, meskipun terdapat siswazah memiliki peluang pada pasaran pekerjaan negara – data Statistik Siswazah 2021 DOSM menunjukkan terdapat lebih 1.6 juta (35.2%) siswazah di Malaysia kini bekerja dalam kategori separuh mahir (32.9%) dan kemahiran rendah (2.3%). Ia secara langsung menunjukkan isu ketidakpadanan pekerjaan bersama graduan negara masih lagi tinggi, dan ini merencatkan peluang perkembangan ekonomi negara.