Artikel

KWSP : 6.7 Juta Pencarum Hanya Mampu Berbelanja RM42 Sebulan Selepas Bersara

Susulan 4 jenis pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah dilaksanakan sebelum ini seperti i-Sinar, i-Citra, i-Lestari dan Pengeluaran Khas, kini didapati seramai 6.7 juta pencarum KWSP kini memiliki simpanan di bawah RM10,000 pada akaun mereka.

Ini bermakna, mereka memiliki keupayaan berbelanja kurang daripada RM42 sebulan untuk tempoh 20 tahun. Malah, bagi kumpulan pencarum yang telah laksana pengeluaran sebelum ini, KWSP menegaskan kumpulan ini memerlukan sekitar 4 hingga 6 tahun tambahan untuk mereka membina semula simpanan yang telah dikeluarkan ketika fasa pandemik tempoh hari.

Maka menyedari jurang simpanan persaraan yang besar telah berlaku – Kementerian Kewangan (MOF) pada sidang Parlimen telah menegaskan, sebarang usul KWSP bersasar atau terbuka dilihat sekadar memburukkan lagi isu ketidakcukupan simpanan persaraan dalam kalangan para pencarum. Tindakan itu perlu diteliti dengan baik berikutan terdapat jangkaan bahawa masyarakat Malaysia ke arah menua.

Ia sekaligus perlu mengutamakan simpanan hari tua bagi menjamin kesejahteraan rakyat Malaysia di masa hadapan.