Artikel

Malaysia Rugi RM158 Juta, Hasil Pembaziran Dan Boros Projek Persekutuan 2021 – LKAN

Ekoran pengurusan perbelanjaan yang tidak teratur dan dilihat lemah pada projek persekutuan 2021, ia secara langsung telah membawa kepada kerugian wang awam, pembaziran negara kepada RM158.08 juta.

Data di bawah Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) hari ini mendedahkan jumlah kerugian tersebut meliputi beberapa bahagian perbelanjaan, antaranya melibatkan kerugian wang awam dengan jumlah kehilangan atau kerugian wang awam sekitar RM116.95 juta, diikuti pembayaran yang tidak teratur RM26.03 juta dan pembaziran RM15.10 juta.

Antara maklumat mengamit perhatian Rnggt adalah dana pembaziran yang berlaku pada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan RM14.23 juta kad lesen memandu tidak digunakan, diikuti Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dengan RM0.87 juta meliputi jentera yang belum digunakan dan telahpun rosak.

Manakala pada segmen kehilangan dan kerugian wang awam pula memperlihatkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia mencatatkan jumlah kerugian paling tinggi dengan RM72.17 juta – iaitu merangkumi syarat pemaustatin dan pemilikan kenderaan yang tidak dipatuhi, diikuti RM0.15 juta melibatkan pengiraan duti eksais yang tidak tepat.

Selain kerugian wang awam yang turut dicatatkan adalah Polis Diraja Malaysia melibatkan RM1.82 juta denda tidak dikenakan, diikuti JPJ dengan RM0.15 juta penalti tidak dikenakan.

Kehilangan/Kerugian Wang Awam berjumlah RM116.95 juta seperti berikut:

  • JKDM: Syarat pemastautin dan pemilikan kenderaan tidak dipatuhi berjumlah RM72.17 juta
  • JKDM: Pengiraan duti eksais tidak tepat berjumlah RM0.15 juta
  • MAFI: Dana obligasi sosial tahun 2021 berjumlah RM37 juta belum diterima
  • K-KOMM: Projek Dana Kandungan Digital (DKD) tahun 2017 hingga 2019 berjumlah RM4 juta gagal disiapkan
  • PDRM: Denda tidak dikenakan berjumlah RM1.82 juta
  • JPM: Sewa kuarters tidak dikutip berjumlah RM1.16 juta
  • JPM: Kutipan sewa kuarters berjumlah RM0.40 juta tidak selaras dengan gred jawatan penghuni
  • JPM: Kutipan sewa kuarters berjumlah RM0.10 juta tidak selaras dengan lokasi pejabat penghuni; dan
  • JPJ: Penalti tidak dikenakan berjumlah RM0.15 juta.

Pembayaran Tidak Teratur berjumlah RM26.03 juta seperti berikut:

  • PDRM: Bayaran tidak mengikut kontrak berjumlah RM17.76 juta
  • K-KOMM: Penyaluran DKD berjumlah RM4 juta kepada syarikat yang mempunyai kepentingan dengan ahli Perbadanan atau Jawatankuasa
  • K-KOMM: DKD berjumlah RM3.25 juta dibayar sebelum projek terdahulu selesai
  • K-KOMM: Bayaran tidak teratur dan penjualan hak penyiaran tanpa kelulusan berjumlah RM0.06 juta
  • MAFI: Bayaran Skim Subsidi Harga Padi berjumlah RM0.73 juta kepada pesawah yang telah meninggal dunia; dan
  • MINDEF: Bayaran Arahan Perubahan Kerja berjumlah RM0.23 juta dibuat sebelum kelulusan Jawatankuasa Kelulusan Perubahan Kerja

Pembaziran berjumlah RM15.10 juta seperti berikut;

  • JPJ: Kad Lesen Memandu tidak digunakan bernilai RM14.23 juta; dan
  • MAFI: Jentera belum digunakan dan telah rosak bernilai RM0.87 juta