Antara faktor yang tingkatkan lagi tekanan kos sara hidup semasa, adalah struktur pendapatan di Malaysia yang diperhatikan tidak seimbang. Memahami kekangan itu, dasar berkaitan penggajian rakyat dimaklumkan akan diteliti pada sidang pertama Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) mulai Mac ini.
Menurut perkongsian pada Prestasi Ekonomi dan Pertumbuhan KDNK semalam, semakan dasar itu akan bertindak meneliti penyelarasan pendapatan rakyat negara berpaksikan sasaran pertumbuhan gaji negara. Usaha ini secara langsung akan membantu rakyat mengimbangi tekanan kos semasa, keperluan dan simpanan mereka di masa hadapan.
Kementerian Ekonomi akui, langkah ini sudah pasti akan mengamit pelbagai perhatian namun semua pihak perlu sedari dasar sedemikian memerlukan sedikit masa untuk mencapai persetujuan bersama. Ini kerana dasar berkaitan gaji harus melalui pelbagai peringkat sebelum ia direalisasikan.
Maka melalui usaha ini, pentadbiran dijangka melaksanakan sesi libat urus bersama khidmat awam dan sektor swasta bagi memahami persekitaran penawaran gaji semasa. Langkah ini sekaligus membantu Malaysia menambah-baik struktur ekonomi di pasaran.