Artikel

10 Startup Tempatan Akan Ke AS, Sertai Siri Pitch Malaysia USA 2023

Seiring dengan usaha Selangor mewujudkan 5 unicorn ($1 bilion) menjelang 2025, pentadbiran negeri kelak akan membawa 10 startup tempatan ke Amerika Syarikat (AS) melalui Pitch Malaysia USA Series 2023 pada 25 April ini.

Buat pengetahuan umum, program di bawah usaha Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) ini adalah sebuah platform buat startup negara yang telah sedia menerima pelaburan untuk mempamer dan mengembangkan potensi perniagaan mereka ke pasaran AS. Ia dicetuskan hasill usahasam bersama pengerak ekosistem Malaysia di AS.

Melalui usaha ini ia akan menonjolkan syarikat startup negara dalam persaingan global dan meletakkan jenama mereka pada perhatian global untuk perluasan operasi di peringkat antarabangsa.

Mengikut perkongsian Sidec, permohonan pernyertaan ini akan dibuka mulai 20 Februari sehingga 10 Mac 2023 dan akan menyaksikan penglibatan startup tempatan pada sesi pitching di Silicon Valley dan Washington D.C. kelak.

Berdasarkan perincian, antara kriteria yang turut digariskan adalah startup berkaitan perlu menghasilkan sekurang-kurangnya $1 juta dalam tempoh setahun dan penyertaan startup berkaitan teknologi, perkhidmatan dan kepenggunaan akan diutamakan.

Secara menyeluruh pada penyertaan itu, Sidec merancang mengumumkan 10 startup tempatan tersebut pada 16 Mac 2023 kelak.