Isu hutang dalam negara bukanlah suatu perkara asing lagi, namun permasalahan ini harus diatasi untuk membantu negara mengurangkan jumlah status muflis dari semasa ke semasa. Tahukah pembaca mengikut jantina, lelaki kini mendominasi jumlah muflis dengan 35,856 individu diklasifikasi bankrap sejak 2018 sehingga 2022.
Sementara wanita pula seramai 13,254 individu diisytihar muflis dalam tempoh yang sama.
Data yang dikongsikan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institut Azalina Othman pada sidang Parlimen semalam menunjukkan langkah yang drastik perlu dibuat – tidak hanya pada Jabatan Insovensi Malaysia (MdI), perbankan, tetapi kementerian berkaitan juga perlu turut serta mengetengahkan usaha pada angka sedemikian.
Menjawab pada kegusaran awam akan status pelepasan muflis ini, pentadbiran bersama MdI kini sedang merangka dan meneliti kemudahan terbaik untuk membantu kumpulan muflis yang terkesan disebabkan tekanan semasa.
Ini meliputi usul pindaan Akta Insovensi 1967 (Akta 360) yang sedang dikaji dan dijangka akan dibentangkan pada sidang kabinet, dalam tempoh terdekat. Cadangan ini dimaklumkan akan memperlihatkan beberapa usul pindaan antaranya;
- Berhubung kemudahan individu yang layak dilepaskan daripada status muflis
- Kumpulan usia 70 tahun dan ke atas atau mereka yang menghidap penyakit mental – dibebaskan daripada status muflis
- Selaraskan nilai harta bankrap, termasuklah peralatan kerja yang boleh dikecualikan untuk dibahagikan kepada pemiutang di bawah seksyen 48(1)(a)(ii)
Melalui usaha merangka cadangan pindaan ini ia bertujuan menambah-baik sistem kebankrapan sedia ada dan beri penekanan kepada aspek kebajikan bankrap yang benar-benar layak untuk diberi peluang kedua dan menyumbang kepada aliran ekonomi negara.
Tidak hanya itu, MdI turut diusulkan melihat pada pelepasan status muflis secara automatik ehsan – ini merangkumi kumpulan yang terkesan disebabkan perubahan kadar faedah ekonomi, alami masalah kesihatan dan fizikal. Bagaimanapun penelitian tersebut masih dijalankan dan akan dikemukakan usul pindaan dalam masa terdekat.