Artikel

PM Anwar: Malaysia Akan Perketat, Kurangkan Manfaat Subsidi Buat Golongan T20

Menyedari kegusaran rakyat negara berhubung usaha negara meningkatkan hasil Malaysia, Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada sidang Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 menjelaskan setakat ini tiada pengenalan cukai baharu atau kepenggunaan yang berasas luas akan dikenakan kepada pengguna. 

Ini bermakna tiada pengenalan cukai baharu pengguna termasuklah GST.

Akan tetapi kerajaan memaklumkan akan perketatkan aturan merangkumi pengurangan subsidi bagi golongan kaya sepertimana yang telah dilaksanakan pada isu subsidi elektrik. 

Meskipun sebelum ini terdapat usul untuk naikkan tarif elektrik namun cadangan tersebut telah dibatalkan dan hanya dikenakan kepada golongan pendapatan kaya seperti T20, syarikat multinasional (MNC) dan syarikat besar. 

Langkah sedemikian adalah usaha negara untuk mengelakkan berlakunya ketirisan yang lebih besar dalam pengagihan subsidi. Pada tahun 2022, didapati subsidi diesel diperuntukan sekitar RM20 bilion, namun separuh daripada volum itu telah dijual melalui stesen minyak. Maka langkah menyelamat ketirisan tersebut wajar dilaksanakan segera. Mengikut anggaran sekitar RM5-6 bilion ketirisan subsidi seharusnya dapat dilindungi.