Artikel

46% PKS Malaysia Kini Kembali Raih Untung, Seperti Sebelum Pandemik COVID-19

Walaupun ekonomi negara masih di fasa memulih, didapati 46% perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia telah meraih semula keuntungan pendapatan sepertimana sebelum fasa pandemik COVID-19.

Tinjauan di bawah Laporan Perniagaan PKS 2023 Alliance Bank Malaysia ini secara menyeluruh jelas menunjukkan 71.6% daripada PKS negara pula berjaya meraih keuntungan dalam pendapatan mereka pada tahun 2022.

Jumlah PKS yang raih keuntungan ini dilihat turut meningkat dengan ketara, apabila setakat 67.2% PKS negara mencatatkan peningkatan pendapatan pada 2021. Mengikut faktor sumbangan prestasi asas eksport negara yang semakin kukuh telah meningkatkan pertumbuhan negara. Persekitara tersebut turut didorong pengukuhan permintaan dalam negeri yang sekaligus melenyapkan kegusaran pada tekanan ekonomi faktor luaran yang perlahan.

Secara menyeluruh, Alliance Bank kekal optimis bahawa pertumbuhan KDNK Malaysia akan meraih paras 4.1%, meskipun lebih perlahan berbanding tahun lalu.