Untuk memastikan kekuatan tunai rakyat negara kekal terpelihara, selain daripada usul membenarkan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) – pentadbiran negara tidak lama lagi akan berkongsikan peluang buatt golongan B40 untuk jana pendapatan tambahan.
Menurut Menteri Ekonomi Rafizi Ramli pada laporan selain usaha itu, langkah untuk mengurangkan beban hidup rakyat juga akan dimaklumkan pada pembentangan Belanjawan 2023 kelak. Ini termasuklah usaha negara untuk merangka dasar yang jelas melibatkan pertumbuhan gaji menerusi Kajian Separuh Penggal RMK-12 ketika ini.
Melalui rangka yang kukuh bagi tempoh 2 tahun hingga 5 tahun, ia akan memberi jaminan kepada kenaikan gaji rakyat negara, yang seharusnya tidak bersandarkan kepada pasaran semata-mata.
Gambaran awal ini sekaligus turut bertujuan memastikan kesejahteraan simpanan hari tua rakyat negara dapat dipertingkatkan untuk mendepani tekanan kos sara hidup semasa. Setakat ini, makluman awal itu akan diperincikan setelah pembentangan Belanjawan 2023 dilaksanakan.