Artikel

PBT Selangor Akan Perangi “Ali Baba” – Pantau Peniaga Yang Mempunyai Lebih Satu Lesen

Bagi memastikan semua perniagaan meraih insentif yang saksama, setiap peniaga wajar mematuhi aturan yang ditetapkan – namun sebaliknya berlaku apabila didapati 69,300 lesen peniaga yang didaftar bawah satu nama, difahamkan beroperasi di pelbagai lokasi di Selangor. 

Tindakan tersebut sekaligus memperlihatkan ramai peniaga berdaftar pada satu nama yang sama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berbeza bagi setiap pendaftaran berniaga di lokasi seliaan PBT.  

Menurut makluman Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Negeri, Rodziah Ismail hanya 20,700 lesen yang menggunakan satu nama dan berniaga di satu lokasi sahaja.

Oleh itu, situasi ini wajar dipantau oleh setiap PBT negeri Selangor untuk memastikan itu tidak memudaratkan ekosistem perniagaan negara susulan pihak yang memiliki banyak lesen perniagaan dengan PBT berbeza ini – berpotensi menyukarkan golongan tertentu meraih bantuan perniagaan daripada pentadbiran negeri.