Artikel

Syarikat GLIC Termasuk KWSP, Khazanah – Bakal Melabur Sehingga RM1 Bilion Dalam Startup Malaysia

Selari dengan usaha meningkatkan ekosistem startup di Malaysia, kerajaan kini sedang mengalakkan penyertaan pelaburan pada syarikat-syarikat teknologi tempatan – khususnya dalam kalangan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

Berdasarkan sidang maya khas antara Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan beberapa pemain ekonomi termasuklah Aerodyne, Carsome dan Inari Amerton semalam (8 Februari), difahamkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah akan menjadi antara firma GLIC yang bakal melabur lebih RM1 bilion dalam ekosistem startup negara.

Usaha ini secara langsung menurut PM Anwar – akan memperlihatkan penyediaan pembiayaan, ruang bakat dan insentif fiskal yang berterusan pada arena syarikat pemula.

Selain itu, langkah ini akan membantu negarameluaskan penawaran peluang pekerjaan dalam sektor teknologi bersama perolehan pendapatan yang lebih tinggi buat pekerja tempatan. Penyertaan GLIC ini sekaligus selaras dengan agenda Daya Cipta di bawah visi MADANI dan Belanjawan 2023 – yang menyasarkan galakkan pelaburan berteraskan pengetahuan dan inovasi dapat digandakan oleh Malaysia.