Artikel

Prestasi E-Dagang Malaysia Naik – Kini Raih Pendapatan RM302.3 Bilion

Walaupun aliran semasa ekonomi terus menekan status tunai rakyat Malaysia, namun prestasi arena e-dagang negara telah memperlihatkan lonjakan 4.1%, dengan meraih hasil pendapatan berjumlah RM302.3 bilion bagi suku keempat 2022.

Mengikut perbandingan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), bagi suku sebelumnya, ternyata prestasi pendapatan tersebut telah meningkat dengan ketara. Di mana suku ketiga telah raih RM289.2 bilion dengan peningkatan 0.3%, namun suku keempat pula telah naik sekitar 4.5%.

Sementara berhubung prestasi sektor perkhidmatan mengikut segmen pula memperlihatkan terdapat peningkatan hasil dicatatkan kepada RM528.8 bilion dengan kenaikan 14.9% secara menyeluruh. Dengan segmen borong, runct, makanan dan penginapan mencatatkan hasil RM425.8 bilion, diikuti segmen komunikasi, pengangkutan, maklumat dan penyimpanan sekitar RM75.8 bilion, manakala kesihatan swasta dan pendidikan swasta serta bahagian kesenian, hiburan, rekreasi pula sekitar RM16.4 bilion dan segmen hartanah RM10.9 bilion.

Melalui prestasi positif ini ternyata sektor perkhidmatan bahagian runcit, borong, makanan dan penginapan mencatatkan bilangan pekerja tertinggi berjumlah 3.8 juta petugas – penyertaan tenaga kerja ini telah meningkat sekitar 3.9% iaitu pertambahan 111,400 pekerja berbanding data sebelumnya.

Lebih menarik, tidak sekadar penyertaan pekerja dan hasil meningkat – namun aliran gaji dan upah turut naik sekitar 1.1% pada segmen tersebut.