Artikel

Kamn Ismail, Tokoh Animasi Malaysia – Kini Hiasi Google Doodle Bersempena Hari Lahirnya Ke-67

Industri animasi Malaysia kini secara jelas telah berada dilandasan yang berbeza, arena ini tidak sekadar meraih perhatian dunia bahkan turut membawa budaya negara ke persada yang lebih tinggi – ia secara langsung telah menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia dari semasa ke semasa. 

Namun disebalik kejayaan pada era ini, jangan dilupa akan usaha pengkarya terdahulu untuk membangunkan industri animasi tanah air. Maka untuk penghargaan itu hari ini bersempena hari lahirnya yang ke-67 tahun, Kamarudin Ismail  atau Kamn Ismail – tokoh animasi negara kini hiasi Google Doodle negara atas jasanya dalam industri animasi Malaysia.

Kamn Ismail, untuk makluman pembaca merupakan antara individu yang bertanggungjawab mencipta karya siri animasi ‘Usop Sontorian’, buat tontonan umum di bawah Kharisma Pictures bersama sokongan 94 kakitangan animasi. 

Melalui siri animasi Usop Sontorian ini, ia telah membuka ruang kepada beliau untuk tampil mewakili delegasi Malaysia ke Festival Animasi Antarabangsa ke-6 yang diadakan di Hiroshima, Jepun.

Tidak terhenti di situ, setelah kejayaan karya animasi itu – Kamn Ismail terus menempa kejayaan pada siri animasi baharu, yang dikenali sebagai ‘Keluang Man’ yang dihasilkannya selaku pengarah pada tahun 1997  di bawah UAS Animation Studios dan telah berjaya melonjakkan kerjayanya dalam industri animasi tempatan. Buat pengetahuan umum, pada era itu, Keluang Man menjadi siri animasi tempatan pertama yang menggabungkan animasi 2D dengan latar belakang 3D. Kesukaran menghasilkan gerakan animasi dan gerakan kamera dengan cara yang lebih menarik adalah sebab mengapa Kamn memutuskan untuk menggabungkan kedua-dua kaedah tersebut.

Selain dua karya tersebut, Kamn Ismail turut terlibat dalam penghasilan pelbagai lagi siri animasi tempatan – antaranya Che Nat, Kumang, Toman 1, Kumang Lagenda Sarawak, Lagenda Kinabalu, Pusaka, Pejuang, Duwi, Kiddo Science World, dan Mat Kilau. 

Hasil kecintaannya pada dunia animasi, Kamn Ismail telah mendapat pengiktirafan dari pelbagai organisasi antarabangsa dan turut diangkat selaku Tokoh Penggiat Kartun 2012 Malaysia. Lebih menarik, usaha beliau pada industri animasi tidak sekadar pada penghasilan karya tetapi turut diperluaskan melalui pembentukan Persatuan Animasi Malaysia pada tahun 2001 dan menyumbang kepada komuniti dengan menggalas peranan selaku Pensyarah di Fakulti Penulisan Kreatif – Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) sehingga akhir hayatnya.