Artikel

Menjelang 2025, MyEG Tidak Lagi Kendali Proses Imigresen

Menjelang 2025, Jabatan Imigresen akan kembali menguruskan semula segala proses dan khidmat imigresen – ini termasuklah perkhidmatan yang dikendalikan oleh pihak ketiga iaitu MyEG Service.

Perubahan ini susulan langkah pembaharuan negara di bawah Sistem Imigresen Bersepadu Kebangsaan (NIISe) berjumlah RM900 juta akan dilaksanakan untuk meningkatkan kecekapan operasi khidmat imigresen.

Pelaksanaan NIISe itu akan memperlihatkan sistem menyepadu semua transaksi imigresen meliputi pembaharuan pasport, permohonan visa, permohonan dan pembaharuan permit buat pekerja asing.

Melalui NIISe, ia secara langsung turut membantu bahagian imigresen negara menggantikan Sistem Imigresen Malaysia (myIMMS) semasa yang telah digunakan selama 13 tahun. Adanya pembaharuan ini, tidak sekadar meningkatkan kecekapan perkhidmatan tetapi turut memudahkan orang awam, menjimatkan masa dan tenaga melalui urusan secara automatik.

Setakat ini mengikut laporan FMT, pelaksanaan NIISe akan melibatkan pangkalan data lebih 20 agensi di negara termasuklah PDRM dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).