Artikel

Wilayah Persekutuan Bakal Jadi Bandar Pintar Menjelang 2030

Senada dengan peralihan ke arah ekonomi digital, Malaysia kini meletakkan matlamat jadikan Wilayah Persekutuan (WP) selaku bandar pintar negara menjelang 2030 ini. 

Langkah itu setakat ini telah memperlihatkan usaha pintar seperti penerapan bas elektrik (EV) secara berperingkat di Kuala Lumpur, diikuti pembangunan konsep bandar rendah karbon di Wangsa Maju sebagai pelan perintis dan pemasangan internet di kawasan projek perumahan rakyat termasuklah di Labuan serta menggandakan peletakan CCTV di KL dan Putrajaya. 

Adanya usaha berterusan ini menurut Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Sembah Ucapan Menjunjung Kasih sempena Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan Tahun 2023 di Istana Negara hari ini – ia tidak sekadar memberi kemudahan kepada penduduk di WP tetapi turut akan membuka lebih besar peluang ekonomi kepada Malaysia dalam domestik serta serantau. 

Buat masa ini, prestasi ketiga-tiga WP telah mencapai tahap kemampanan bandar berlandaskan ukuran MURNInets (Jaringan Penunjuk Pembangunan Mampan Bandar Luar Bandar Malaysia) oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia).