Selari dengan matlamat negara, untuk mengurangkan bebanan kos kalangan rakyat yang berpendapatan rendah – dimaklumkan hampir 15,000 kedai makanan, restoran telah turut serta menawarkan menu makanan siap berharga RM5 dan ke bawah mulai hari ini, buat pengguna.
Pelaksanaan ini menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mendapat pelbagai sokongan antaranya Mydin, Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (PRIMAS) serta Persatuan Pengusaha Tomyam Malaysia.
Menerusi inisiatif ini, pada awalnya penawaran menu makanan adalah merangkumi hidangan nasi, ayam, sayur serta ikan – namun penyertaan pemain industri telah menggandakan penawaran menu seperti shawarma, nasi paprik dan pelbagai lagi untuk memenuhi selera rakyat negara.
Disasarkan pembangunan inisiatif ini dapat diselesaikan sekitar akhir Mac kelak dan seterusnya dapat diperluaskan jumlah premis buat para pengguna. Bagi memudahkan pengguna untuk mengenalpasti premis makanan yang terlibat, pelekat Menu Rahmah akan tersedia di premis berkaitan untuk menjadi rujukan buat para pengguna.