Artikel

Had Hutang Kerajaan Malaysia Dijamin, Tidak Akan Naik Lebihi 65%

Seperti yang diketahui umum, negara telah menaikkan had statutori hutang sebanyak tiga kali daripada 55%, 60% dan kali terakhir adalah pada pertengahan Oktober 2021 kepada 65%. Setelah tindakan itu, terdapat beberapa pihak menjangkakan kenaikan had akan terus berlaku, untuk negara meluaskan perbelanjaan pada bajet seterusnya.

Akan tetapi Kementerian Kewangan (MOF) melalui Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan telah menyelar tanggapan tersebut, dengan memberi jaminan bahawa buat masa ini tiada keperluan kenaikan akan berlaku untuk had siling hutang negara.

Jaminan itu disokong, dengan kemampuan negara untuk menangani paras hutang sedia ada. Meskipun secara menyeluruh termasuk liabiliti memperlihatkan jumlah hutang negara sekitar RM1.5 bilion, namun angka sebenarnya dalam lingkungan RM1.2 bilion – iaitu sekitar 61% daripada had yang digariskan.

Maka melihat pada status itu, pentadbiran tidak bercadang menaikkan had tersebut dan kelak dalam perancangan menggandakan hasil negara dalam pelbagai cara. Setakat ini, persetujuan had hutang di paras 65% adalah bertujuan memberi ruang kepada pemulihan negara, di samping meningkatkan sokongan pembiayaan bantuan ke atas rakyat serta sektor ekonomi negara.