Artikel

Pelihara Hak Cipta : 2,000 PMKS Bakal Raih Manfaat RM2 Juta Dana Pemfailan Harta Intelek

Dalam usaha merancakkan ekonomi dan mengurangkan bebanan usahawan tempatan – Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) kini melancarkan Dana Pemfailan Harta Intelek 2.0 berjumlah RM2 juta, yang berupaya memanfaatkan sekitar 2,000 usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana negara.

Inisiatif akan memperlihatkan tampungan kos melibatkan kesemua pemfailan komponen harta intelek, termasuklah kos bagi khidmat profesional dan teknikal seperti pendrafan paten.

Adanya dana ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menjelaskan ia turut akan membantu perniagaan negara membiayai kos pemfailan cap dagangan, hak cipta serta reka bentuk perindustrian. Usaha ini tidak sekadar meningkatkan penyertaan semua pihak dalam melindungi harta intelek industri. Tetapi turut membantu merangsang pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Setakat tahun lalu, MyIPO telah menerima sebanyak 329,917 permoohonan harta intelek dan 128,822 daripada adalah permohonan bagi harta intelek tempatan.

Maka sebarang maklumat lanjut, para PMKS boleh merujuk pada pautan Dana Pemfailan Harta Intelek 2.0 untuk tindakan seterusnya, untuk makluman permohonan dibuka sehingga 31 Oktober 2023 kelak.