Walaupun kadar inflasi utama Malaysia semakin mereda di paras 3.8%, namun situasi ini tidak dapat menafikan kegusaran rakyat negara akan ketidaktentuan ekonomi semasa. Khususnya melibatkan kemampuan ekonomi secara individu dan keluarga berlandaskan kelas pendapatan B40 dan M40. Susulan kerunsingan itu, didapati hanya 35% rakyat percaya bahawa ekonomi diri dan isi rumah mereka akan menjadi lebih baik dalam tempoh 5 tahun mendatang.
Tinjauan melalui Edelman Trust Barometer 2023 ini menjelaskan tahap kepercayaan itu didorong atas beberapa fakor – antaranya pengangguran (89%), inflasi (74%), perubahan iklim (76%), perang nuklear (72%), ketirisan sumber makanan (67%) dan kekangan sumber tenaga (66%).
Persekitaran ini secara langsung meningkatkan lagi risiko aliran tunai rakyat negara, untuk memastikan perbelanjaan harian dan kecemasan dapat dilaksanakan untuk berdepan krisis sedemikian dari semasa ke semasa.
Berdasarkan senarai 28 buah negara itu, Malaysia telah berada di kedudukan ke-13. Namun jumlah kemerosotan keyakinan tersebut memaparkan Malaysia sebagai negara kedua alami penurunan yang mendadak, dengan kehilangan 20 mata tahap keyakinan ekonomi.
Selain negara, Singapura pula mencatatkan paras keyakinan 36% terhadap ekonomi semasa. Ini berbeza dengan negara Asia lain seperti Indonesia 73% dan Thailand pula 58%. Melepasi paras keyakinan ekonomi global.
Secara menyeluruh tinjauan mendapati Malaysia bersama 23 buah negara telah alami kemerosotan tahap keyakinan ekonomi untuk tahun 2023.